subscribe: Posts | Comments | Email

Zakat Emas dan Perak

“Berzakat Menyucikan Harta dan Jiwa”

zakat

Emas dan perak adalah jenis-jenis logam yang diwajibkan zakat. Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:

“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”.

At- Taubah; ayat 34-35

 

Saidina Ali telah meriwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham , dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar. Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”

(Hadis riwayat Abu Hurairah)

 

Emas dan perak wajib dizakatkan apabila mecukupi haul dan nisab

Haul (Tempoh masa):

Tempoh masa pemilikan mutlak (dalam pemilikan kita dan bukannya dipegang/dipinjam/digadaikan) ialah genap setahun.

 

Nisab (berat minima):

Nisab emas simpanan (tidak dipakai): 85 gram

Nisab emas perhiasan (dipakai walau sekali dalam setahun): berbeza mengikut uruf setiap negeri

Nisab perak (samada dipakai atau tidak): 200 dirham atau 595 gram

 

Zakat Emas

Zakat emas dikira dalam dua keadaan:

1. Emas yang tidak dipakai (disimpan)

Emas seperti jongkong, dinar dan termasuk juga barang kemas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Contoh:

2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
Contoh : RM6,000 x 2.5%
Jumlah zakat    = RM 150

 

2. Emas yang dipakai

Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ianya melebihi ‘uruf’ (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.

Uruf emas perhiasan bagi setiap negeri adalah berbeza. Berikut merupakan uruf bagi setiap negeri:

Wilayah Persekutuan: 150 gram (Pusat Pungutan Zakat MAIWP)

Selangor: 800 gram (Lembaga Zakat Selangor)

Negeri Sembilan: 200 gram (Pusat Zakat Negeri Sembilan)

Melaka: 200 gram (Pusat Zakat Melaka)

Johor: 850 gram (MAIJ)

Perlis: Sila rujuk MAIP

Kedah: 170 gram (Zakat Kedah)

Pulau Pinang: 165 gram (Zakat Penang)

Perak: 500 gram (MAIAMP)

Pahang: 500 gram (Pusat Kutipan Zakat Pahang)

Terengganu: 850 gram (MAIDAM)

Kelantan: tiada uruf (e-MAIK)

Sabah: Sila rujuk Pusat Zakat Sabah

Sarawak: Sila rujuk Tabung Baitulmal Sarawak

 

Contoh:

Berat Emas yang dipakai = 250 gram
*Uruf Emas = 150 gram
(*contoh berdasarkan uruf emas Wilayah Persekutuan)

Berat Emas yang layak dizakat = 250 gram – 150 gram = 100gram
Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)
= 2.5% x (100 gram x RM 77.16)
= RM 192.90

 

 

Zakat Perak

Menurut hukum syarak, logam perak adalah termasuk dalam kategori jenis-jenis harta yang dikenakan zakat. Pada umumnya barang-barang logam perak yang digunakan oleh manusia terdiri dari 4 bentuk utama:

  1. Jongkong perak
  2. Matawang perak
  3. Perkakas atau perhiasan rumah daripada perak
  4. Barang perhiasan/barang kemas perak

Nisab dan kadar zakat perak

Ijma, ulama telah menetapkan nisab perak sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan 595 gram.

Dalil zakat perak

Sabda Rasulullah SAW

Maksudnya:

“..Tidak diwajibkan zakat pada perak jika kurang daripada 5 awsuq (bersamaan lebih kurang 930 liter)”. (Riwayat Muslim)

Maksudnya:

“Pada perak (zakatnya) 1/40…”. (Riwayat Al-Bukhari )

Contoh pengiraan zakat perak

Berat barangan perak x harga semasa x 2.5%

Katakan Syukor menyimpan 1,000 gram perak (telah melebihi nisab)

Kadar zakat = 2.5%
* harga semasa perak (contoh) = RM 3.80

Zakat =  1,000 gm x RM3.80 x 2.5%
= RM95